Saturday, 2 November 2013

KEBAIKAN ALOE VERA


 


Aloe vera sejenis tumbuhan berair yang mengagumkan yang menjadi sebahagian daripada keluarga besar Liliaceae. Bawang putih dan merah juga tergolong dalam keluarga serupa.

Hampir 100 peratus tumbuhan itu berasaskan air dan bahagian dalamnya dipenuhi isi berbentuk gel yang mempunyai banyak kegunaan dan khasiat untuk kesihatan luaran dan dalaman.

Ia mengandungi lebih 200 komponen aktif antaranya vitamin, mineral, asid amino, enzim serta lemak asid malah sudah digunakan masyarakat dunia sebagai terapi untuk kesihatan sejak lebih 5,000 tahun lalu.

Aloe vera kaya dengan vitamin A, C dan E serta asid folik, choline, B1, B2, B3, B6 dan B12 di samping mineral seperti kalsium, magnesium, zink, kromium, selenium, sodium dan zat besi.

Tumbuhan berkenaan juga dipenuhi khasiat asid amino dan asid lemak yang penting untuk pertumbuhan tubuh yang sihat di samping mempunyai kemampuan mengurangkan jumlah lemak dalam darah.

Semua bahan yang terkandung dalamnya bertindak membantu mengurangkan simptom alahan dan masalah penghadaman tidak lancar. Malah aloe vera dikatakan mempunyai khasiat yang mampu meningkatkan ketahanan badan bagi melawan penyakit.

Sifatnya yang berair dikatakan mampu menyegar dan membersihkan saluran penghadaman seterusnya memperbaiki masalah penyingkiran toksin dari badan, yang sememangnya boleh menyebabkan seseorang tertekan.

Ia turut membantu masalah ciritbirit dan merawat masalah pencernaan dan pedih ulu hati, selain mengurangkan bakteria dan menyeimbangkan flora dalam perut. Malah ia juga membantu menurunkan berat badan secara tidak langsung apabila sistem penghadaman menjadi lebih sihat.

Selain itu, aloe vera mampu mencantikkan dan menyihatkan kulit serta merawat masalah seperti jerawat, luka kecil, psoria sis, gigitan serangga, melecur dan memudarkan parut yang masih baru.

Ini kerana ia bertindak seperti penawar yang bukan saja dapat melegakan rasa sakit, gatal dan mengurangkan pendarahan, malah mempercepatkan proses penyembuhan.

Oleh kerana sifatnya yang berair, aloe vera yang juga dikenali sebagai lidah buaya boleh digunakan sebagai pelembap untuk menyegarkan kulit, juga membantu keadaan kulit yang kering dan rosak.

Kandungan aloe vera yang popular dalam dunia kecantikan ialah asid salisilik dan sulfur. Mereka yang kerap terdedah pada sinaran matahari boleh menggu nakan aloe vera untuk melegakan keadaan kulit yang terbakar akibat panahan matahari.

Pada masa sama, kandungan zatnya yang mencukupi juga mampu melembutkan dan mencantikkan rambut apabila disapu.

Bagi mendapat kesan terbaik daripada aloe vera, sesetengah pakar menyarankan penggunaannya antara dua hingga tiga kali dalam seminggu, dengan menyapu gel aloe vera sambil mengurut tempat yang ingin dirawat atau diberi kelembapan.

Sapuan aloe vera ke kulit sebelum mengenakan mekap juga boleh membuatkan kulit lembut dan segar, terutama kepada mereka yang mementingkan bahan semula jadi dan tidak menggunakan pelembap di pasaran.

Lelaki juga boleh mendapat manfaat aloe vera dengan menyapu pada kulit untuk menyegarkan dan memperbaiki bahagian kulit yang terluka selepas bercukur.

No comments:

Post a Comment